Ahad, 20 Februari 2011

Kebergantungan Terhadap Petronas Harus Dihentikan


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat menyambut baik usaha PETRONAS menghebahkan prestasi separuh tahun kewangan yang berakhir 31 Mac tahun hadapan syarikat itu.

Meskipun begitu, kebimbangan tetap timbul apabila untung rugi syarikat itu memberikan impak yang begitu besar kepada ekonomi Malaysia disebabkan kebergantungan negara terhadap sumber asli itu.

Anwar menyarankan kerajaan agar menghentikan kebergantungan ekonomi Negara kepada PETRONAS semata-mata.

Katanya, PETRONAS melalui laporan kewangan yang dikeluarkan mencatatkan kejatuhan berjumlah RM 59 bilion yang bermaksud, cukai yang sepatutnya diperolehi negara berkurangan sehingga 57 peratus.

Sikap kebergantungan ekonomi negara kepada PETRONAS begitu merunsingkan.

“Sepanjang 5 tahun ini, PETRONAS adalah entiti yang memberi sumbangan terbesar kepada pendapatan Negara. Untuk tahun kewangan 2008 sahaja, sumbangan PETRONAS merupakan 44.9% dari pendapatan Negara. Kebergantungan terhadap PETRONAS ini mengaburi kita dari kedudukan sebenar ekonomi akibat dari dasar kerajaan yang terus menerus bergantung kepada syarikat tersebut untuk menampung kegagalan mereka untuk memulihkan kewangan Negara semenjak terkesan dari krisis kewangan Asia 1997/1998” ujar Anwar. Menurut Anwar sudah sampai masanya kerajaan meneliti perkara yang sebegini penting kerana ia melibatkan kepentingan umum.

Malah ujarnya lagi, penggunaan sumber dan dana dari PETRONAS meningkat setiap tahun dalam tempoh lima tahun mutakhir ini iaitu sebanyak 21 peratus dari setiap tahun sebelumnya.

Ini bermakna wang yang disedut oleh kerajaan meningkat dua kali ganda dalam tempoh itu.

“Akibat dari ketagihan menggunakan sumber PETRONAS, syarikat ini tidak lagi mampu menampung ketirisan serta perbelanjaan boros oleh kerajaan pusat. Sedangkan pengunaan oleh kerajaan bertambah 21% setiap tahun, keupayaan PETRONAS hanya berkembang pada tahap sekitar 16% setiap tahun. Jelasnya kerajaaan Barisan Nasional memerah lebih dari apa yang termampu dilakukan oleh PETRONAS”.

Pakatan rakyat turut mencadangkan beberapa inisiatif untuk membantu menghentikan kebergantungan ini iaitu antaranya Malaysia harus bertindak menjadi pemudah cara atau fasilitator kepada PETRONAS untuk mendapatkan kawasan baru di luar Negara bagi menampung keperluan tempatan yang meningkat.

Memastikan penggunaan dana PETRONAS telus dan menstrukturkan semula subsidi gas serta pembayaran royalti agar tidak ada lagi ketirisan.

Empat cadangan Pakatan Rakyat :-
1)Memastikan ekonomi Negara tidak lagi bergantung kepada sumber petroleum dan gas semata-mata. Industri pembuatan yang bernilai serta berdaya tinggi dan perkhidmatan perlu dijadikan sector utama memacu pertumbuhan ekonomi.

2)Memastikan penggunaan dana PETRONAS telus untuk penelitian umum agar pembaziran serta ketagihan yang sama tidak berulang sepertimana yang berlaku dari tahun 2005-2009.

3)Menstrukturkan semula subsidi gas dan pembayaran royalti agar tidak ada lagi ketirisan. Subsidi gas hanya menguntungkan sesegelintir berikutan perjanjian IPP yang berat sebelah seperti sekarang mengakibatkan ketirisan dan korupsi.

4)Kerajaan Malaysia mesti bertindak untuk menjadi pemudah cara/fasilitator kepada PETRONAS untuk mendapatkan kawasan baru di luar Negara untuk menampung keperluan tempatan yang meningkat.

Isnin, 14 Februari 2011

PERUTUSAN PRESIDEN SEMPENA MAULIDURRASUL

RASULULLAH SAW BERI CONTOH TELADAN POLITIK ISLAM / رسول الله بري چونتوه تلدان ڤوليتيک اسلام

>> 15 FEBRUARI 2011


KUALA LUMPUR, 15 Feb: Pada diri Rasulullah s.a.w. itu adanya teladan politik Islam yang terbukti memberi keadilan kepada semua agama dan kaum, disambung pula oleh pemerintahan Islam selepas itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ianya membuktikan sesuatu kaum khususnya Arab tidak selama-lamanya menjadi pemimpin.

"Rasulullah s.a.w. telah membuktikan Islam tidak membenarkan perhambaan sesama manusia, Islam memberikan hak kepada rakyat, hak kepada wanita dan kaum minoriti, dan Islam memberi keadilan kepada seluruh makhluk di atas muka bumi ini.

"Teladan Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang sepatutnya kita ikuti dengan menolak perjuangan sempit atas nama perkauman yang terbukti zalim dan tidak memberi keadilan kepada rakyat," ujarnya dalam perutusan sempena Maulidur Rasul 1432H.
Berikut perutusan penuh beliau.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sambutan Maulidur Rasul s.a.w. yang diadakan saban tahun, mestilah diutamakan dengan memulakan azam baru bagi mengikuti teladan Nabi Muhammad s.a.w. yang diutuskan oleh Allah SWT, untuk membebaskan manusia daripada belenggu jahiliah.

Jasa besar Nabi Muhammad s.a.w. adalah, membawa Islam yang menerangi manusia, yang memerdekakan manusia daripada diperhambakan sesama manusia, dijajah sesama manusia, dizalimi dan menzalimi sesama manusia, kepada manusia yang merdeka dan mempunyai hak yang dihormati.

Kejayaan besar penjajah barat ialah memesongkan umat Islam daripada politik Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Hasilnya lahirlah umat Islam yang menerima sahaja siapa sekalipun menjadi pemerintah mereka, walaupun zalim kepada rakyat, kerana bagi mereka urusan politik tidak ada kaitan dengan agama.

Sedangkan pada diri Rasulullah s.a.w. itu adanya teladan politik Islam yang terbukti memberi keadilan kepada semua agama dan kaum, disambung pula oleh pemerintahan Islam selepas itu, yang membuktikan sesuatu kaum khususnya Arab tidak selama-lamanya menjadi pemimpin.

Rasulullah s.a.w. telah membuktikan Islam tidak membenarkan perhambaan sesama manusia, Islam memberikan hak kepada rakyat, hak kepada wanita dan kaum minoriti, dan Islam memberi keadilan kepada seluruh makhluk di atas muka bumi ini. Teladan Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang sepatutnya kita ikuti dengan menolak perjuangan sempit atas nama perkauman yang terbukti zalim dan tidak memberi keadilan kepada rakyat.

Kita melihat bagaimana kehidupan masyarakat Arab jahiliah sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. yang penuh dengan perhambaan dan kezaliman, tetapi semuanya berubah selepas kedatangan Islam.

Justeru, saya menyeru kepada seluruh umat Islam khususnya, supaya memulakan tekad baru, menolak jahiliah moden yang menjadikan rakyat sebagai hamba, yang harta negara berlegar sesama mereka, yang rasuah dan zalim, kepada perjuangan yang lebih syumul iaitu Islam sebagaimana dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
12 Rabiul Awal 1432H/15 Februari 201

Sabtu, 12 Februari 2011

Al-Fatihah, Adun Kerdau meninggal dunia


ADUN Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada Umno meninggal dunia petang tadi.



NONEAllahyarham dikatakan menghembuskan nafas terakhirnya ketika dalam perjalanan ke hospital selepas dilaporkan terjatuh di bilik air rumahnya.

Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Noor Mansor berkata pihak Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh mengesahkan Zaharuddin, 63, meninggal dunia
di hospital berkenaan pada jam 7.15 petang.

"Datuk Zaharuddin disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung," katanya ketika dihubungi di Kuantan. Baca selanjutnya disini.

Belum sempat proses penamaan calon berlaku di Merlimau, Melaka, seorang lagi Adun meninggal dunia.

Selepas ini, negeri Pahang yang merupakan negeri perdana menteri akan dipenuhi manusia. Terutamanya politikus dari Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Rakyat Kerdau akan menerima rezeki yang besar atau dalam istilah ekonomi dipanggil "economic stimulus package".

Jumaat, 11 Februari 2011

PRK Merlimau: Lebih Ramai Bukan Melayu Hadiri Ceramah TG Nik Aziz


Lebih ramai kaum bukan Melayu yang hadir mendengar ceramah TG Nik Abdul Aziz Nik Mat daripada kaum Melayu di Merlimau malam tadi. Ini adalah satu perkembangan yang baik sempena pilihanraya kecil DUN Merlimau yang bakal diadakan pada 6 Mac nanti.

TG Nik Aziz di dalam ucapannya menyeru semua penduduk di Merlimau termasuk kaum Cina dan India di Merlimau supaya tidak gentar untuk melakukan perubahan dan tidak termakan hasutan UMNO yang menakut-nakutkan kaum bukan Islam terhadap Islam.

Apa yang berlaku di Kelantan adalah bukti nyata bahawa Islam tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum kerana Islam dengan keadilannya adalah sesuai dengan fitrah manusia.

TG Nik Aziz menjelaskan bahawa asal manusia semuanya dari Adam. Islam datang menghapuskan rasisma. Baginda Rasullullah saw, menurut TG Nik Aziz telah berjaya menyatukan penduduk Arab yang terdiri dari pelbagai kaum dan puak seperti Salman dari Parsi dan Bilal dari Habsyi (Afrika) di bawah naungan Islam.

"Tiada kelebihan diantara manusia melainkan yang bertaqwa," jelas TG Nik Aziz.

Sebelumnya, YB Salehuddin Ayub di dalam ucapannya merakamkan rasa gembira kerana melihat ramai kaum bukan-Melayu terutama kaum Cina yang hadir pada majlis pertemuan malam tadi.

Di dalam ucapannya YB Salehuddin telah menyatakan bahawa PAS, DAP dan PKR akan mampu menggantikan kerajaan Barisan Nasional sebagai teraju pemerintahan negara.

Berbeza dengan zaman lampau, kaum Cina terutamanya, takut untuk hadir di dalam ceramah-ceramah PAS, tetapi suasana hari ini sudah berbeza.

YB Abdullah Sanusi, Ahli Parlimen Kuala langat pula meminta kaum bukan-Melayu di Melaka melakukan perubahan seperti yang ditunjukkan oleh kaum bukan-Melayu di Selangor.

"Jika Selangor boleh berubah, tiada sebab Melaka tidak boleh," jelas beliau.

YB Abdullah Sanusi menyeru supaya rakyat Melayu, Cina dan India bekerja bersungguh-sungguh supaya UMNO BN dikuburkan ke dalam Muzium Negara," tambahnya.

Majlis Ramah Mesra ini telah dirancang lebih awal iaitu sebelum penetapan tarikh penamaan calon dan pilihanraya bagi DUN Merlimau oleh Suruhanjaya Pilihanraya, malah sebelum kerusi DUN Merlimau kosong kerana kembalinya Allahyarham Mohd Hidhir ke rahmatullah. Justeru itu tidak timbul soal berkempen lebih awal, jelas pemimpin PAS Kawasan Jasin yang GB temui.


video

MAKANAN TIDAK HALAL ANCAM NEGARA


Saya merujuk akan artikel dalam Utusan Malaysia 8hb. Februari 2011 bertajuk ‘ Isu Logo Halal Tiada Kesudahannya’. Dilaporkan hasil kajian oleh unit khas Utusan Malaysia mendapati bahawa amat banyak makanan harian yang paling biasa dimakan atau dijual dijual di pasar raya; jelas tidak halal dan sangat meragukan. Bahkan yang telah diharamkan pun masih dijual bebas secara berleluasa.


Di samping itu ada barang makanan yang dinyatakan ‘halal’ oleh pengusaha makan tetapi tiada dalam senarai ‘Halal Jakim’ ; namun terpampang logo ‘halal Jakim’ pada bungkusan makanan tersebut.
Adakah memang salah pengusaha makanan memalsukan logo ‘halal’ atau pihak Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) yang gagal menjalankan tugas?

Dalam konteks orang Islam, umumnya makanan tidak halal itu cenderung merujuk sebarang unsur yang berkaitan babi, minyaknya, gelatin babi serta dari binatang yang tidak disembelih dengan kaedah yang sah di sisi agama Islam.

Jika memakan hasil sembelihan tanpa kaedah Islam yang betul, maka ia setaraf memakan haiwan yang mati iaitu dianggap sebagai bangkai.

Saya khuatir, kelemahan penguatkuasaan, pemantauan dan kegagalan mematuhi garis panduan ini akan menimbulkan empat perkara :

a) keresahan pengguna, perasaan benci dan marah yang terpendam di hati oleh umat Islam terhadap pengeluar atau pengusaha makanan bukan Islam. Kemarahan terpendam ini boleh mengancam keselamatan negara, walhal mungkin ada pengusaha yang benar-benar telus dan berusaha memenuhi kriteria halal yang diperlukan. Isu halal dan haram ini amat sensitif.

b) hilang dan luntur kepercayaan rakyat terhadap institusi Islam seperti Jakim dan agensi-agensi penguatkuasa yang di bawah kelolaan kerajaan, yang memberi kesan terhadap pemerintahan negara. Sepatutnya menteri yang berkaitan kepenggunaan dan bidang hal ehwal umat Islam perlu proaktif akan perkara ini.

c) Sepatutnya Malaysia menjaga statusnya sebagai negara Islam yang dibanggakan oleh negara luar apabila menjadi ‘Halal Hub’ di rantau Asia. Kegagalan Malaysia mengurus dan menjaga status makanan halal bagi rakyat sendiri dikhuatiri akan merosakkan reputasi negara dan merencatkan penglibatan pelabur-pelabur dari Timur Tengah dan lain-lain negara Islam dalam industri pemakanan negara.

d) Penyalahgunaan logo halal dari pelbagai agensi Islam secara berleluasa termasuk 60 peratus logo halal Jakim akan boleh merangsangkan lagi pengusaha makanan atau pemilik pasar raya yang majoritinya bukan Islam untuk mengambil jalan mudah, melanggar undang-undang dan mengenepikan soal ‘halal dan haram’; yang boleh mewujudkan konflik agama dengan majoriti umat Islam dalam negara ini. Ini amat merbahaya, dan sesungguhnya mencegah dari awal itu lebih baik untuk mengelakkan nasi menjadi bubur.

Semoga pihak kerajaan, agensi berkaitan dan pengusaha industri makanan, mengambil langkah drastik untuk mengatasi masalah ini demi kebaikan dan keharmonian semua secara bersama; juga diharap pemilik dan pengusaha makanan bukan Islam yang jujur dan mematuhi undang tidak menjadi mangsa prejudis kerana konflik ini.

Read more: http://biaqpila.blogspot.com/2011/02/makanan-tidak-halal-ancam-negara.html#ixzz1Dhmmpt8K

Selasa, 1 Februari 2011

KESILAPAN CETAK BUKU – MENTERI PELAJARAN PERLU BERTANGGUNGJAWAB


Pakatan Rakyat Negeri Pahang (PR Pahang) menyokong penuh kenyataan Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin yang menggesa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga Menteri Pelajaran supaya segera memberikan penjelasan terperinci berhubung kesilapan mencetak 400 ratus ribu buku teks KSSR Bahasa Inggeris Tahun 1 sehingga menyebabkan buku itu ditarik balik.

Penjelasan terperinci diperlukan oleh rakyat kerana kesilapan tersebut menyebabkan kerugian yang mencecah hampir RM4 juta dan memberikan kesan negatif bukan sahaja terhadap pelajar sekolah malah ke atas ekonomi negara. Pembaziran tersebut membabitkan jumlah wang rakyat yang begitu besar dan menunjukkan beliau selaku Menteri Pelajaran gagal memastikan pentadbirannya melaksanakan tata kerja berkualiti yang diuar-uarkan oleh kerajaan.
Kerugian akibat kecuaian seperti ini bukan kali pertama berlaku di bawah kementerian yang sama. Rakyat Malaysia masih belum dapat memaafkan kerugian yang dianggarkan RM5 bilion akibat kegagalan Dasar PPSMI sebelum ini. Jika jumlah kerugian akibat kegagalan beberapa projek infrastruktur pendidikan di seluruh negara sejak era Tun Dr Mahathir diambil kira, maka kementerian ini boleh dianggap di antara kementerian yang menyumbang kepada kerugian wang rakyat dalam jumlah yang sukar dimaafkan.
Jika pembaziran dan kecuaian-kecuaian tersebut dapat dielakkan, wang dalam jumlah demikian sudah pasti dapat disalurkan untuk manfaat yang lebih besar dan sepatutnya. Antaranya ialah menaikkan geran per kapita kepada semua sekolah di seluruh negara bagi menampung kos pengurusan operasi yang meningkat saban tahun. Jika ini dilakukan sudah tentu dapat mengurangkan bebanan dan tekanan ibu bapa yang pada masa sama berdepan dengan kenaikan kos hidup yang drastik dan menggigit.

PR Pahang menggesa Perdana Menteri mengambil tindakan tegas ke atas Tan Sri Muhyiddin dan pihak berkaitan ekoran kecuaian ini kerana RM4 juta adalah jumlah yang amat besar. Jangan hanya berani bertindak ke atas rakyat jembel tetapi berlepas tangan apabila kesalahan dilakukan oleh pihak atasan. Jadikan kes ini salah satu penanda aras (benchmarking) program transformasi Malaysia yang dilaung-laungkan. Buktikan dengan tindakan, berhentilah daripada sekadar menambah sesak ruang maklumat negara dengan pelbagai slogan retorik populis semata.

ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI
Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Negeri Pahang
(http://roslanzainalalahmadi.blogspot.com/)